Showing posts with label Masakan Melayu. Show all posts
Showing posts with label Masakan Melayu. Show all posts

Thursday, March 15, 2012

Sambal Ketuk "my version'

Okey nak kongsikan resepi sambal ketuk pula.Sambal ni 'my favourite' sejak kecil lagi.Dulu selalu request arwah mak buatkan bila balik bercuti.Yelah, duduk asrama bila balik kampung memang rindu air tangan mak hehe..Jom tengok resepi ni..Saya dah ubah sedikit dari resepi arwah mak..basic tetap sama cuma saya tambahkan terung.Jom semak resepi..




Bahannya:
2 biji terung sederhana besar (belah dua sapukan sedikit minyak dan taburkan sedikit garam-panggang)
4biji cili merah (panggang)
6biji cili padi (panggang)
3biji bawang merah (panggang)
2ulas bawang putih (panggang)
2 genggam ikan bilis (gorengkan hingga garing-toskan)
Garam secukup rasa


Caranya:
1.Tumbukkan semua bahan di atas hingga lumat dan sebati..Sedia untuk dihidangkan..Mudah kan? :D

Taugeh Masak Lemak Putih Dengan Ikan Pari Masin

 Assalamualaikum,hari ini saya nak kongsikan menu mudah untuk semua.Sebelum nak memasak memang pening juga kepala memikirkan menu apa lah yang nak disediakan.Rasanya orang akan hadapi dilema ini kadang-kadang kan?Setelah jenuh memikir dan tiada idea yang datang..saya pun selongkar peti sejuk..hehe habis semua sudut saya periksa.Macam-macam yang ada dalam peti sejuk kat rumah ni rupanya..abah lah ni,rajin betul beli ikan masin buat stock haha..Maka,datang idea untuk masak menu ini.Biasanya,ikan pari masin saya akan masak asam pedas,tapi kali ini,tukar selera pula.Jom semak resepi.




Bahannya:
300g Taugeh (bersihkan)
2keping tauhu 
1keping ikan pari masin (potong kecil-kecil dan rendamkan 1jam kemudian bilas dan toskan)
2biji bawang kecil (tumbuk)
2ulas bawang putih (tumbuk)
sedikit ikan bilis (tumbuk)-ikan bilis ni optional nak letak boleh,tak nak pun tak mengapa.
1biji cili merah (hiris)
250ml santan pekat
250ml air
garam jika perlu.


Caranya:
1.Masukkan semua bahan tumbuk ke dalam periuk + ikan pari masin + air.Renehkan.
2.Apabila mula mendidih masukkan santan pekat + tauhu + cili merah.Renehkan menggunakan api perlahan.Rasakan dan tambahkan garam jika perlu.Kacaukan selalu supaya santan tidak pecah minyak.Biarkan selama 5 minit dan padamkan api dapur.Sedia untuk dihidangkan bersama sambal ketuk dan nasi putih. :)



Tuesday, January 31, 2012

Kerabu Kambas (bitter gourd) Bersama Epal Hijau

 Assalamualaikum..baru hari ini berkesempatan nak kongsi menu ni..Hidangan yang sihat untuk semua..okey jom semak resepinya =)




Bahannya:
4Ekor ikan kembung sederhana besar (dibakar kemudian asingkan dari tulangnya dan carik2kan isi ikan-ketepikan)
2Biji Kambas (bitter gourd)-(hiriskan kemudian gaulkan dgn 1sk garam halus.biar 15minit kemudian perah sedikit buangkan air pahitnya)
2biji Bawang besar-dihiris
2biji epal hijau- dihiris (perahkan sedikit lemon supaya epal tidak lebam)
2batang serai-dihiris
6-7biji cili padi-dihiris 
4sb kerisik
sedikit perahan limau kasturi @lemon
Garam dan gula secukup rasa


Caranya:
1.Sediakan mangkuk besar.Masukkan Kambas + Epal + Bawang besar + Serai + Cili padi + Kerisik + Isi ikan kembung + Garam + Gula.
2.Gaulkan hingga sebati.Rasakan, jika kurang masam baru tambahkan sedikit lagi air perahan limau kasturi @ lemon.
3.Biarkan 15 minit baru dihidangkan bersama nasi putih panas..Bagus untuk pesakit kencing manis..macam abah saya.=) 


Selamat mencuba..

Thursday, December 15, 2011

Daging Masak Manis Jepun

 Assalamualaikum,maaf lama tak update resepi kat sini.Akhir-akhir ni agak sibuk menerima tempahan kuih untuk majlis kenduri jadi tak berkesempatan untuk menjengah ke sini.Okey,kali ni nak kongsi resepi lama.Mengapa saya kata lama sebab resepi ni ambil dalam koleksi buku resepi arwah mak.Kalau kertas biasanya warnanya putih,tapi kertas kat buku resepi mak dah jadi kuning..hihi boleh bayangkan buku tu dah tersimpan lama.Kebetulan minggu lepas dok menyelongkar almari mencari buku resepi masa study dulu,terjumpa buku arwah mak.Saya ni ada la satu 'penyakit' yang memang tak leh nak ubah dari dulu..suka sangat letak barang kat tempat paling 'selamat'..at least sendiri fikir tempat tu selamat..dah tu bila nak guna,cari satu rumah pun tak jumpa..Rupanya,letak tempat lain cari kat tempat lain..haha..camno den nak ubah perangai yang satu ni pun tak tau la.Bukan sekali,banyak kali lak tu benda ni jadi..huhu.Penyelesaiannya,kalau nak simpan barang inform adik biar dia pun tahu skali..tapi ada jugak kelemahannya,sebab kadang-kadang adik pun macam saya jugak..hahaha..2 x 5 je kitorang ni..Kalau siapa-siapa ada penyelesaian bagi 'penyakit' kitorang ni sila lah sarankan ye..Cukup cite pasal ni jom tengok resepi ni..ha lagi satu jangan tanya kenapa nama dia masak manis jepun sebab saya pun tak tau..kot-kot lah ada orang pernah tinggal kat jepun bertanya kann..=D


Bahannya:
500g Daging Batang Pinang (hiris nipis)
10 ulas Bwg Putih (kisar)
10 biji Bwg merah (kisar)
15 tangkai cili kering (rebuskan kemudian kisar jadikan pes cili)
1inci Halia (kisar)
2sb Lada Hitam (tumbuk kasar)
3sb Kicap manis
1sk kicap pekat
3biji Kentang (buang kulitnya dan potong 4)
2biji bwg besar (hiris)
kulit kayu manis,bunga lawang
1cwn air
Garam,gula dan cuka makan secukup rasa.
Daun sup,daun bawang dan bawang goreng untuk hiasan 


Caranya:
1.Panaskan kuali,masukkan minyak gorengkan bawang besar hingga kekuningan dan angkat.Kemudian gorengkan kentang separuh masak angkat dan ketepikan.
2.Tumiskan bwg merah + bwg putih + halia + lada hitam + pes cili  hingga garing.
3.Masukkan daging + air kemudian tutupkan kuali.Biar hingga empuk.
4.Masukkan cuka + kicap manis + kicap pekat + kulit kayu manis + bunga lawang.Apabila mendidih masukkan kentang + bawang besar yang siap digoreng tadi.
5.Masukkan garam dan gula secukup rasa.Biarkan 5 minit hingga kuahnya pekat sedikit dan matikan api dapur.Taburkan daun sup,daun bawang dan bawang goreng di atasnya untuk hiasan.


Selamat mencuba =)

Tuesday, December 6, 2011

Gulai Lemak Ikan Sepat Masin Dengan Nenas

 Selamat tengahari semua,resepi yang nak dikongsi kepada semua hari ini sebenarnya menu minggu lepas..Lewat sikit update..hihi.Okey,ini sebenarnya permintaan abah.Pelik juga bila dia balik dari pasar sambil bawa
 sebiji nenas..sebab buah nenas tak masuk dapur rumah ni sejak sekian lama.Apalagi abah memang tak boleh makan nenas.Tapi,bila dia dah beriya nak,takkan pulak kita nak larang..Orang tua-tua ni kena jaga juga hati dan kemahuan dia.Tak boleh lah nak larang itu ini,kempunan nanti kan susah.:)




Bahannya:
1/2biji Nenas (bersihkan buang kulit dan potong 1/2inci lebar)
6ekor Ikan sepat masin (potong dua dan rebus 15minit -toskan)
1biji Bawang besar (tumbuk)
1inci Kunyit hidup (tumbuk)
1sb pes cili kering
2keping Asam gelugor
500ml santan cair
300ml santan pekat
6biji cili padi
Garam secukup rasa


Caranya:
1.Masukkan bawang besar + kunyit hidup + pes cili kering + santan cair ke dalam periuk.Renehkan 15 minit menggunakan api sederhana.
2.Masukkan asam gelugor + nenas + ikan sepat masin + cili padi.
3.Apabila mula mendidih,masukkan santan pekat dan rasakan.Masukkan garam jika perlu.Padamkan api dapur dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih panas.

Tuesday, November 29, 2011

Gulai Labu Masak Lemak Putih

 Ini merupakan antara menu masakan yang menjadi kegemaran ahli keluarga saya. Biarpun ringkas tapi enak dimakan bersama sambal tumis ikan bilis. Bak kata arwah mak 'mak mertua lalu pun tak perasan'... Apalagi kalau ada ikan sepat masin goreng.. Sepinggan nasi pun tak cukup.hihi. Caranya mudah saja, jom tengok resepinya..

Bahannya:
1/2 biji Labu (buangkan kulitnya dan potong 2'lebar)
500ml santan cair
100ml santan pekat
1helai daun kunyit (disiat)
Garam secukup rasa

Bahan ditumbuk:
1biji Bawang besar 
3ulas bawang putih
sejemput ikan bilis


Caranya:
1.Masukkan labu + bahan-bahan yang ditumbuk + santan cair ke dalam periuk. Masak dengan menggunakan api sederhana.
2.Apabila mula mendiddih,masukkan daun kunyit + garam + santan pekat. Renehkan lagi hingga labu empuk. Kacaukan sekali sekala supaya santan tidak pecah minyak. Padamkan api dapur dan sedia untuk dihidangkan..

Wednesday, November 9, 2011

Ayam Masak Kicap Berempah Istimewa

Assalamualaikum, selamat pagi. Hari ini saya nak kongsikan resepi ayam masak kicap, cuma ada tambahan rempah supaya ada kelainan dari segi rasanya.


Bahan-bahannya:
6 ketul Ayam (Gaul dgn kunyit kunyit hidup yg ditumbuk + Garam)
1biji Bawang besar -dikisar
3ulas Bawang putih -dikisar
2inci Halia -dikisar
1inci Lengkuas -dikisar
2sb Pes cili  
2sb Kicap manis
1mangkuk kecil air Asam jawa
1batang serai dititik
Garam dan Gula secukup rasa
Minyak untuk menggoreng dan menumis

Bahan Yg Dikisar Kering- (rempah2 ini gorengkan tanpa minyak dahulu baru dimesin)
2sk Jintan Putih
21/2sk Jintan Manis
3biji Buah pelaga
2sk Lada Hitam 

Bahan Untuk Ditumis-
Kayu manis,Bunga cengkih,bunga lawang


Caranya:
1.Gorengkan ayam yang telah digaulkan dengan kunyit dan garam-separuh masak. (ketepikan)
2.Tumiskan kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang.
3.Campurkan bahan kisar dengan pes cili + bahan yang dikisar kering. Masukkan ke dalam kuali bersama bahan yang sedang ditumis.
4.Biarkan hingga naik bau dan bahan-bahan sebati + masukkan serai yang dititik.
5.Masukkan kicap manis + garam + gula secukup rasa.
6.Seterusnya,masukkan ayam + air asam jawa. Perlahankan api dapur dan biarkan hingga kuahnya pekat sedikit. Padamkan api dapur dan sedia untuk dihidangkan.


*Boleh dimasukkan kacang peas,kismis serta kacang gajus.



Tuesday, November 8, 2011

Rendang Ayam

 Selamat pagi semua. Oleh kerana sibuk menyambut raya, tak ada kesempatan nak update resepi kat blog ni. Okey, raya lepas saya masak rendang ayam, resepi ini sama dengan resepi rendang daging yang saya update dahulu. Takpe kan ulang tayang..hehe. :D
Bahan-bahan:
2ekor Ayam
5biji bawang merah (kisar)
6ulas bawang putih (kisar)
10 biji cili padi (kisar)
2inci kunyit hidup(kisar)
2inci halia (kisar) 
2inci lengkuas (kisar)
10 tangkai cili kering ( direbus dan dikisar menjadi pes cili)
1keping kayu manis
2kuntum bunga lawang
3 butir buah pelaga
5kuntum bunga cengkih
2keping asam keping
1mangkuk kecil air asam jawa
2biji santan
250g kerisik
5batang serai dihiris halus
5keping daun limau purut dihiris halus
2keping daun kunyit dihiris halus
Garam secukup rasa
Gula melaka secukup rasa

Caranya:
1.Panaskan kuali,masukkan minyak dan tumiskan kayu manis + bunga lawang + buah pelaga + bunga cengkih.
2.Masukkan bahan kisar bawang merah + bawang besar + bawang putih + cili padi + kunyit hidup + halia + lengkuas. Tumis hingga naik bau masukkan pes cili biarkan hingga pecah minyak.
3.Masukkan Ayam + serai + daun limau purut + daun kunyit + santan + asam keping  + air asam jawa.
4.Masukkan garam + gula melaka secukup rasa. Apabila kuahnya kering sedikit masukkan kerisik dan masak lagi hingga kuahnya pekat mengikut citarasa anda. Selamat mencuba..

Saturday, November 5, 2011

Asam Rebus Ikan Sardin

Selamat hari raya Aidiladha semua..hari ini nak kongsi resepi yang paling simple.Sebenarnya lauk ni dimasak untuk makan tengahari semalam.Baru berkesempatan nak update kat blog..Lauk ni menjadi kegemaran adik saya,tiap kali hidangkan lauk ini berselera dia makan..Kadang-kadang lauk simple macam ni yang buka selera.Bahan-bahan pun tak banyak,senang dan mudah nak sediakannya.Kebetulan pagi semalam,abah beli ikan sardin kat pasar.Mula-mula fikir jugak nak masak apa,disebabkan sibuk buat kuih tengok jam pun dah hampir pukul 12 tengahari,apalagi terus ambil keputusan masak lauk ni..hihi..Bimbang abah balik solat Jumaat nanti makanan tak siap..Maka beginilah resepi asam rebus express saya..=P


Bahan-bahannya:
6ekor Ikan sardin (disiang dan bersihkan)
1biji Bawang merah
3ulas Bawang putih
1/2' Kunyit Hidup
1helai Daun Kunyit (Siatkan)
1sb Pes Cili kering
><500-600ml Air asam jawa
2biji Terung (potong serong)
Garam dan gula secukup rasa


Caranya:
1.Tumbukkan bawang merah + bawang putih + kunyit hidup.
2.Masukkan bahan yang siap ditumbuk ke dalam periuk + pes cili kering dan hidupkan api dapur.Gunakan api sederhana.
3.Masukkan daun kunyit + ikan + air asam jawa +garam + gula secukup rasa.
4.Apabila mendidih masukkan terung.Renehkan menggunakan api perlahan.Biar selama 5 minit.Padamkan api dapur dan sedia untuk di hidangkan.

Sunday, October 2, 2011

Acar Timun

Bahannya:
2 biji Timun (dibuangkan kulitnya)
1biji Bawang holland (dihiris)
1biji cili hidup (buangkan bijinya dan hiris halus)

2sb Kacang tanah (digoreng tanpa minyak dan ditumbuk kasar)
1sb Bijan (digoreng tanpa minyak)
sedikit perahan air limau (jika tiada boleh gantikan dgn cuka masakan)
Garam dan gula secukup rasa

Caranya:
1.Potongkan timun mengikut citarasa anda.Masukkan ke dalam magkuk.
2.Masukkan bawang holland + hirisan cili hidup + kacang tanah + bijan + perahan air limau  + garam + gula.Gaulkan semua hingga sebati.Biarkan selama 15 minit baru dihidangkan.

Saturday, September 10, 2011

Sambal Tumis Ikan Bilis

Bahan-bahannya:

500g cili kering (direbus dan dikisar menjadi pes cili)
1kg Ikan bilis (dibersihkan dan digoreng)
5 Biji Bawang besar (dihiris)
6ulas Bawang putih (dikisar halus)
1mangkuk kecil Air asam jawa
50g gula melaka
3sb Gula pasir
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng dan menumis

Caranya:

1.Panaskan kuali masukkan minyak masak,gorengkan ikan bilis hingga garing.Toskan minyaknya dan ketepikan.
2.Tumiskan pes cili kering hingga naik minyak.Masukkan bawang besar + bawang putih masak hingga pecah minyak.
3.Masukkan air asam jawa + Gula melaka + gula pasir + garam secukup rasa.Tumiskan hingga sambal kering sedikit dan masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi.Gaulkan rata hingga sebati.Matikan api dapur dan sedia untuk dihidangkan..

P/s:Sukatan gula terpulang pada citarasa masing-masing.Sedap dihidang bersama roti puri,nasi lemak,pulut kuning ,lontong dll.

Rendang Ayam Cili Padi

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam dipotong 16
25biji cili padi (dikisar)
3sb pes cili kering
10 ulas bawang merah (dikisar)
5 ulas bawang putih (dikisar)
1inci kunyit hidup (ditumbuk@ dikisar halus)
2inci halia (ditumbuk@ dikisar halus)
2 inci lengkuas (ditumbuk @ dikisar halus)
5batang serai (dihiris halus)
6helai daun limau purut (dihiris halus)
3helai daun kunyit (dihiris halus)
2 keping asam keping
2biji perahan pati santan (500ml)
200g kerisik
25g gula melaka
2sb gula pasir
Garam secukup rasa
 Minyak untuk menumis

Caranya:
1.Panaskan kuali,masukkan minyak masak tumiskan pes cili kering + cili padi + bawang merah + bawang putih + halia + lengkuas + kunyit hidup..Tumis hingga naik bau.
2.Masukkan ayam dan gaulkan rata.biarkan selama 15 minit hingga ayam separuh masak.
3.Masukkan asam keping + santan + serai + daun limau purut + daun kunyit + gaulkan sebati.
4.Seterusnya masukkan gula melaka + gula pasir + garam secukup rasa + kerisik.Kacaukan sekali sekala hingga rendang kering..Kepekatan kuah terpulang pada citarasa individu..Apabila kering,padamkan api dapur dan sedia dihidangkan bersama ketupat @ lemang.

Selamat mencuba (^-^)

Saturday, September 3, 2011

Rendang

Bahan-bahan:
2kg Daging Batang pinang (boleh guna ayam @ apa saja yang anda suka)
10 biji bawang merah (kisar)
4biji bawang besar (kisar)
6ulas bawang putih (kisar)
10 biji cili padi (kisar)
2inci kunyit hidup(kisar)
2inci halia (kisar)
3inci lengkuas (kisar)
10 tangkai cili kering ( direbus dan dikisar menjadi pes cili)
1keping kayu manis
2kuntum bunga lawang
3 butir buah pelaga
5kuntum bunga cengkih
2keping asam keping
1mangkuk kecil air asam jawa
2biji santan
250g kerisik
5batang serai dihiris halus
5keping daun limau purut dihiris halus
2keping daun kunyit dihiris halus
Garam secukup rasa
Gula melaka secukup rasa

Caranya:
1.Panaskan kuali,masukkan minyak dan tumiskan kayu manis + bunga lawang + buah pelaga + bunga cengkih.
2.Masukkan bahan kisar bawang merah + bawang besar + bawang putih + cili padi + kunyit hidup + halia + lengkuas.Tumis hingga naik bau masukkan pes cili biarkan hingga pecah minyak.
3.Masukkan daging + serai + daun limau purut + daun kunyit + santan + asam keping  + air asam jawa.
4.Masukkan garam + gula melaka secukup rasa.Apabila kuahnya kering sedikit masukkan kerisik dan masak lagi hingga kuahnya pekat mengikut citarasa anda.Selamat mencuba..








Wednesday, April 13, 2011

Tauhu sumbat

Tauhu sumbat

Bahan-bahannya:
7keping tauhu goreng
1biji timun (sengkuang n lobak merah pun boleh digunakan sebagai bahan tambahan lain)
50g taugeh

Sos cili:
30g cili kering (rebus/buang biji)-kisar halus
5ulas bawang putih-kisar halus
50g kismis kuning-kisar halus
30g kacang tanah (digoreng tanpa minyak,buangkan kulitnya dan tumbuk kasar)
5sb gula pasir
1/2sk garam
1-2sb cuka
1sb tepung jagung-larutkan dengan sedikit air
600ml air

Caranya:
1.Masukkan cili kering yang dikisar + bawang putih + kismis kuning +air +cuka + gula + garam ke dalam periuk.
2.Masak dengan menggunakan api perlahan.Apabila mulai mendidih masukkan larutan air tepung jagung.Masak hingga sos sedikit pekat.Sejurus sebelum api dapur dipadamkan masukkan kacang tanah yang ditumbuk.
3.Sementara itu,potongkan tauhu dan hiris halus.Celurkan taugeh serta tauhu.Kemudian,potongkan tauhu dan sumbatkan di dalamnya dengan taugeh dan timun..

~Sedia untuk di hidangkan~

p/s:sos cili ini boleh dijadikan sos untuk popia goreng dll.Untuk menyediakan sos tauhu bakar hanya tambahkan sedikit udang kering tumbuk dan sedikit kicap manis. 

Kari Ayam Masala

 Assalamualaikum,salam sejahtera semua.Alhamdulillah,kali ni saya nak kongsikan resepi dari India Selatan iaitu Kari Ayam Masala..Jom kita...